NEWS

ACRES IN THE NEWS
____________________________________________________________________

Berita Harian
20 May 2006

‘Balik kampung' lepas selamat dari dianiaya

Seekor monyet betina berekor panjang jenis Rhesus Macaque, berusia 15 tahun, dihantar pulang ke negara asalnya, India, semalam selepas diselamatkan daripada perniagaan haram haiwan peliharaan di sini pada 2004.

Monyet bernama Asha itu sebelum ini hidup dalam keadaan tidak terurus dan dijumpai oleh Persatuan berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) dangan lehernya dirantai ke sebatang pokok di kawasan gudang di Jalan Malan, dekat Alexandra Road.

Pengarah Eksekutif Acres, Encik Louis Ng, berkata Asha dihantar pulang ke India semalam dengan menaiki kapal terbang penumpang.

“Asha mungkin diseludup ke Singapura oleh peniaga haiwan tidak berhati perut,” kata Encik Ng.

Sejak diselamatkan pada Ogos 2004, Asha dipelihara di Taman Haiwan Singapura sementara menunggu Acres mendapatkan tempat tinggal kekal untuknya.

Pengarah Zoologi dan Khidmat Doktor Haiwan, Taman Haiwan Singapura, Dr Chris Furley, berkata:

“Kami telah memeliharanya selama 20 bulan. Kami telah memberinya makanan, tempat tinggal dan pemeriksaan dan rawatan perubatan.”

Menurutnya, Asha dipulangkan ke India kerana tiada spesies Rhesus Macaque di Singapura dan mereka tidak mahu Asha hidup tanpa teman.

Di India Asha akan dijaga di Pusat Penyelamat dan Pemulihan Wildlife SOS di New Delhi.

“Akhirnya, Asha akan mendapat tempat tinggal tetap di tempat perlindungan dan dapat bersatu kembali dengan spesiesnya. Namanya yang bermaskud ‘harapan' itu akan terlaksana juga,” kata Pengarah Zoologi Acres, Cik Amy Corrigan, yang akan menemani Asha sepanjang penerbangan ke India.

Biaya menghantar pulang Asha, yang dianggarkan $8,000, dibiayai bersama Restoran Vegetarian Ananda Bhavan, Kuil Sri Sreenivasa Perummal, Acres dan beberapa badan lain.

Ini merupakan usaha kedua Acres menghantar pulang primat ke negara asal meraka, selepas seekor monyet liar jenis ‘vervet', yang diberi nama Blue, yang diseludup ke Singapura, dihantar pulang ke Afrika pada 2004.

Sehingga ini, Acres telah menyelamatkan lebih 170 haiwan, termasuk 165 daripada perniagaan haram binatang liar.

Pada Julai tahun lalu, is menjalankan pengintipan dan mendapati sejumlah 100 binatang spesies hampir pupus didagangkan secara terbuka di negari ini.

top

.........................................................................................................................................................